Selasa, 1 Februari 2011

Men'servis' Hati


Sedar tak sedar, dah dua tahun tak balik rumah.

Teruknya!

Heh ~ Gurau sahaja. Kali terakhir aku berada di rumah, bersama keluarga ialah pada 29 November 2009. (dua tahun la kan?) - Aku tidak berada di rumah pada cuti final semester lepas kerana ada kursus Flash di Kedah.

Hujung minggu lepas, antara pengisian yang sangat menyentuh hati aku ialah ketika bersama merasai keindahan bersama Allah, bersama Rasulullah, bersama ibu bapa dan bersama kawan-kawan. Tidak lain tidak bukan, pengisian tersebut ialah dari program “Keindahan BersamaMu” atau akronimnya ‘KBM’.

Walaupun sudah lama mendengar namanya, tapi aku baru kali pertama mendengar pengisian dari program tersebut. Aku tidak berniat pun untuk menyertainya, hanya sekadar memerhati. Tapi seorang ikhwah meminta bantuanku untuk salah satu slotnya iaitu ‘Meniti Angin Malam’. Sambil membantu, aku juga turut mendapat pengalaman dan ilmu yang baru.

Alhamdulillaah, pengisian yang diberi sungguh menginsafkan. Aku harap beberapa ilmu yang aku peroleh itu akan dipraktikkan kelak.

Dalam pada itu, aku telah mengkhatamkan buku “Hati Sebening Mata Air” (lamanya aku ambil masa untuk habiskan, dari bulan April 2008 lagi aku mula baca) atau judul asalnya dalam bahasa Arab iaitu “Islaahul Qulub”.

Serius aku ingin khabarkan kepada kalian, usai sahaja aku membacanya, aku rasa ada beberapa pengajaran yang boleh dikaitkan dengan program KBM tadi.

Program KBM akan memperingatkan peserta bahawa dunia yang kita kejar selama ini hanyalah ilusi, sedangkan kuburlah destinasi kita sebelum ke mahsyar nanti. Ketika slot ini, aku teringat sebahagian isi buku tentang azab kubur, Hari Kebangkitan, syurga dan neraka serta hisab.

Menggetarkan hati..

Justeru itu, aku ingin kongsikan kepada kalian, petikan dari buku tersebut, bahawa Allah itu Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kerana apa?

Kerana, sungguh banyak sekali cara kita boleh masuk syurga.

Namun, kita perlu bersabar dengan ujian di dunia. Ujian untuk menahan dari maksiat, serta ujian dari kemalasan melakukan perkara yang mahmudah dan ibadah yang ditetapkan Allah. Pun begitu, Allah telah menyusun beberapa ‘terminal’ atau stesen bagi kita untuk menyucikan diri sebelum dihisab.

4 di dunia

1. Taubat
2. Istighfar
3. Kebaikan dan amal soleh
4. Musibah dan ujian

3 di kubur

1. Solat jenazah
2. Fitnah dan seksaan di kubur
3. Hadiah pahala dari amal manusia

4 di hari qiamat

1. Kengerian hari Qiamat
2. Berdiri di hadapan Allah swt
3. Syafaat Nabi
4. Ampunan Allah

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

(Surah 55, Ar-Rahman : Ayat 16)
Lihatlah, di dunia sahaja telah disediakan empat terminal penyucian dosa. Pilihan di tangan kita. Sama ada hendak menyuci dengan cara yang baik di dunia, atau dengan cara yang menyeksakan seperti diazab di kubur atau ditimpakan kesusahan dan kepayahan ketika di padang Mahsyar.

Buku yang ana reviewkan tersebut, sangat bagus untuk dibaca kerana dapat meningkatkan intensiti ‘selera’ anda untuk beribadah. Tidak kira ibadah rohani atau jasmani. Pastinya, anda akan cuba untuk cuba meraih perhatian dariNya dengan membaca surat cintaNya (Al-Qur’an) dan melakukan kebaikan hanya untuk mendapat keredhaanNya.

p/s - Sekadar memperingatkan terutama diri yang menulis ini. Jangan hanya lincah di medan tarbiah luaran tapi kita lupa pada tarbiah dzatiah (peribadi). Kelak akan menghasilkan jiwa yang kosong dan ‘kering’. Jika tidak dirawat segera, iman akan menjadi kontang dan futur boleh terjadi.

~ Islah, Islah, Membawa Perubahan ~
Bashir IbnDzul Web Developer