Jumaat, 1 April 2011

Jelas Tapi Kabur

Baru pulang dari perhimpunan tahunan sebuah badan dakwah mahasiswa di Malaysia, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia atau akronimnya 'KARISMA'. KARISMA ialah sayap kepada sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) iaitu Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Perhimpunan ini mengumpulkan sebahagian besar da'ie yang menyertai halaqah di bawah KARISMA di sebahagian besar institut pengajian tinggi di Malaysia. Perhimpunan itu ialah 'PERHIMPUNAN KARISMA NASIONAL 2010' atau PKN'10. Tema PKN'10 ialah Menggarap Perubahan, Memperkukuh Kesatuan.

Alhamdulillah, aku dapat berjumpa dengan ramai pimpinan dan da'ie muda KARISMA yang menggerakkan dakwah di pelbagai lokaliti seluruh negara. Sangat menggugah jiwa! Ucapan dasar oleh presiden kami, Abdullah Omar membakar semangat kami untuk terus bekerja demi kemenangan dakwah dan Islam. Dari isu Palestin, gejala sosial, ekonomi, politik sehinggalah kepada isu yang tidak dilupakan mengenai Rancangan Dakwah KARISMA atau lebih dikenali sebagai FIDAK2015 (Fikrah Islam Dominan Alam Kampus 2015), satu gagasan yang menerangkan strategi dan plan tindakan dalam mencapai kemenangan dakwah di kampus menjelang 2015. Persoalan yang paling ditunggu-tunggu pastinya tentang status KARISMA selepas Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ditubuhkan pada pertengahan 2010 yang turut dianggotai oleh JIM.

Inilah kali pertama aku menjadi pemerhati! PKN'08 aku menjadi AJK, manakala PKN'09 sebagai perwakilan (tapi tidak menjadi pembahas). Tahun ini memaparkan kelainan apabila hanya perwakilan dari KARISMA negeri atau daerah sahaja yang wajib membahas, manakala perwakilan dari IPT boleh membahas jika mereka mahu (sunat je la).

Kami dari Perak dibarisi oleh 11 orang ikhwah dan 13 akhawat telah diwakili oleh akh Megat sebagai pembahas. Perbahasannya sangat membakar semangat sehinggakan perbahasannya disambut dengan laungan penuh semangat dari semua hadirin!

Sebelum perletakan jawatan KARISMA Nasional, beberapa penerangan telah disampaikan oleh JK KNL sendiri tentang isu-isu yang banyak menimbulkan tanda tanya dari semua ahli KARISMA. Ya, seperti kata-kata Hassan Al-Banna, dakwah kita ini cerah secerah mentari. Jelas semuanya. Tapi sekarang, ada kekaburan tentang status akan datang KARISMA. Apa yang pastinya, gerakan mahasiswa yang baru di bawah IKRAM kelak akan menyaksikan satu gerakan dakwah mahasiswa yang lebih massa dan berusaha memenangkan dakwah di kampus seterusnya menjayakan misi dakwah IKRAM iaitu memenangkan dakwah di Malaysia seterusnya di seluruh dunia. Dan pengalaman 11 tahun KARISMA di medan dan pengurusan operasi pastinya tidak sepatutnya dipersiakan begitu sahaja!

Alhamdulillah, akh Khairul Fadhli dan ukhti Nur Idayu telah dilantik untuk mengetuai barisan KNL 2011 yang dibarisi oleh lapan orang lagi AJK. Semoga amanah yang digalas mampu ditunaikan. Terus menderu memacu kemenangan, biarpun tidak menjadi sang pemenang, kerana kemenangan yang hakiki itu milikNya, dan dapat diraih apabila telah cukup syarat-syaratnya.



~ Raih Kemenangan Tanpa Perlu Jadi Pemenang ~

Listening to : Ukhuwwah Teras Kegemilangan (Saff-One)
Reading : Himpunan Risalah Hassan Al-Banna
Mood : Berkobar-kobar

Selasa, 1 Mac 2011

Sebu

“Erm, sedapnya kek ni!” kata Din.

“Yela, tapi sikit la plak. Kalau banyak, kan best!” balas Mad pula.

“Eeerrkk. Alhamdulillah..” ujar Megat sambil bersendawa.

“Ana pernah dapat hadiah kek ni. Lepas tu ana makan banyak-banyak.” Tambah Afiq.

“Bestnye! Kalau la ana dapat jugak..” Mad mencelah dengan girangnya.

“Hm, tak jugak..” Afiq bersuara kembali.

“Kenapa pulak? Mesti la best kan? Dah la sedap. Dapat makan banyak-banyak pulak.” Mad bertanya kembali.

“Sebu.” Afiq menjawab.

“Sebu?” semua tertanya-tanya.

“Pernah tak antum makan makanan yang antum suka banyak-banyak?”

“Pernah sekali.” Mad menjawab.

“Apa yang enta rasa lepas tu?”

“Huuu.. Tak larat dah. Lepas tu cam hilang selera nak makan benda tu untuk beberapa minggu kot.”

“Haa.. Tahu pun. Camtu gak macam semalam, enta pulun tilawah banyak-banyak. Tapi hari ni suara pun dah serak, lepas tu malas dah pulak kan?”

“Hehee..”

“Nafsu manusia ada hadnya. Sebab tu, dalam sesuatu perkara, jangan dibuat berlebih-lebihan. Nanti datang rasa jemu. Begitu juga dalam ibadah.”

“Dalam ibadah pun camtu?”

“A’ah. Pernah dengar kisah sahabat Rasulullah yang nak puasa tak nak berbuka?”

“Pernah.”

“Camtu la kita dalam beribadah. Ada masa kita ibadah, tapi tanpa berlebih-lebihan sehingga menyebabkan badan kita exhausted. Lepas tu, muncul pulak rasa kemalasan. Sebabnya, dah buat banyak-banyak sebelum ni. Yang sebenarnya, sepatutnya buat walaupun sedikit, tapi berterusan.”

“Macam dalam sukan, untuk menaikkan fitness seseorang, bukan boleh secara mendadak. Hari ni berlari pusing padang 10 pusingan, esok pusing 20 pusingan terus. Badan kita tak boleh ‘catch-up’. Kalau hendak tingkatkan pun, biar lah bertahap. Hari ini 10 pusingan, lusa baru tambah jadi 11 pusingan. Minggu depan baru tambah pula jadi 12 pusingan.” Tambah Din yang sememangnya sentiasa menjaga kecergasan dan tahap fitnessnya dengan berjoging.

“Hmm, betul kata Din tu. Kalau dalam dakwah pulak, tidak boleh pulak terlampau menumpukan pada tarbiah sahaja, tanpa melakukan aktivisme. Tetapi juga, tak boleh hanya tumpu aktivisme, sehingga mengabaikan tarbiah. Kedua-duanya perlu seiring. Tawaazun.”

“Tawaazun?” Mad terpinga-pinga mendengar istilah yang tidak pernah didengarinya sebelum ini.

“Megat, cerita sikit.” Afiq meminta.

“Seimbang.”

“Seimbang?”

“Seimbang dalam dakwah. Namun seimbang bukanlah pada kuantitinya. Tapi seimbang pada tahap keperluan. Kalau orang tu masih baru, digalakkan untuk tumpukan pada tarbiahnya. Namun, bukan tarbiah pada teori sahaja tau. Tarbiah juga pada amal. Dan kemudiannya baru lah kita menggalakkan untuk mengaplikasikan amal tersebut dengan lebih tersusun melalui aktivisme.”

Adakah seimbang maksudnya mesti sama?
“Oh, cam tu. Baru ana teringat. Dulu zaman Rasulullah, Abu Dzar terus je pergi isytiharkan keIslamannya pada penduduk Mekah.”

“Ish, tu bukan aktivismelah!” celah Din.

“Habis tu?”

“Sahabat-sahabat cuba melakukan amal sebaik sahaja mereka mendengarnya. Dan kemudian mereka konsisten dengannya. Cuba bayangkan, jika Al-Qur’an diturunkan sekaligus?”

“Hmm.. Kalau turun sekaligus, pada bulan Ramadhan, konfem la, nak kene puasa, solat, bayar zakat terus.. Mesti macam berat je rasanya..”

“Sebab tu kena ada tadarruj..”

“Tadarruj?” Mad menyampuk lagi.

“Bertahap-tahap. Dalam beramal, pun macam tu. Macam lari pusing padang tadi. Hari ini baca 1 muka surat Al-Qur’an. Esok 2 muka surat pula. Nak kekalkan 2 muka surat sampai minggu depan, lepas tu baru tambah jadi 3 muka surat, terpulanglah. Yang penting, istiqamah. Bukan baca satu juzu’ hari ni, minggu depan baru nak baca lagi.” Afiq menjelaskan.

“Dan satu lagi, tentang tawaazun tadi. Kalau tarbiah je, maksud ana, nak dapat pengisian tarbiah aje, nak program berbentuk ruhiah je, tapi takde aktivisme, sudah tentu kita tak hadapi masalah. Bila kita berkomunikasi dengan masyarakat melalui aktivisme, kita akan mengenali masalah, dan cuba mencari jalan penyelesaiannya. Dan, tarbiah kita bukan menuntut amal untuk diri, tapi juga untuk masyarakat. Sebab tu adanya aktivisme.” Din menambah.

“Tapi juga, tak boleh hanya aktivisme sahaja tanpa tarbiah. Lama-lama, akan jadi exhausted. Ibaratkan kereta yang tidak diganti minyak pelincir (minyak hitam) nya. Sudah tentu lama kelamaan, kereta itu akan menghadapi masalah dan tidak boleh bergerak. Begitulah manusia. Jika aktivisme sahaja, tanpa tarbiah, akhirnya sampai satu masa, dia akan ‘burn out’, keletihan, dan akhirnya mungkin futur atau putus asa dengan dakwah.” Megat menerangkan dengan panjang lebar.

Bermain dan belajar. Tarbiah dan aktivisme.
“Semoga enta dapat faham sedikit sebanyak penerangan dari kami yang tak seberapa ni. Ingat ya, balancekan aktivisme dan tarbiah. Kalau terlebih fokus aktivisme, cepat semput. Terlebih fokus tarbiah, enta akan jadi kakak tua, hanya tau teori, tapi tak manifestasikan dalam amal. Dalam sirah, setiap sahabat yang ditarbiah akan terus berada di medan melaksanakan amal, mengikut kapasiti masing-masing. Amal aktivisme jugalah yang memacu agar tarbiah itu tidaklah nampak ideal, tapi realiti.” Afiq mengakhiri penerangan.

“OK, jomlah, dah nak Isya’ ni. Mari kita bersiap ke surau.”

“Ana sakit perut plak. Antum gerak dulu ya.”

“Itulah, tadi baru lepas makan nasi dengan kuih. Lepas tu makan kek pulak.”

“Ye la, lain kali ana kurangkan makan banyak-banyak..”

~ Manifestasikan Tarbiah Dalam Aktivisme ~

Selasa, 1 Februari 2011

Men'servis' Hati

Sedar tak sedar, dah dua tahun tak balik rumah.

Teruknya!

Heh ~ Gurau sahaja. Kali terakhir aku berada di rumah, bersama keluarga ialah pada 29 November 2009. (dua tahun la kan?) - Aku tidak berada di rumah pada cuti final semester lepas kerana ada kursus Flash di Kedah.

Hujung minggu lepas, antara pengisian yang sangat menyentuh hati aku ialah ketika bersama merasai keindahan bersama Allah, bersama Rasulullah, bersama ibu bapa dan bersama kawan-kawan. Tidak lain tidak bukan, pengisian tersebut ialah dari program “Keindahan BersamaMu” atau akronimnya ‘KBM’.

Walaupun sudah lama mendengar namanya, tapi aku baru kali pertama mendengar pengisian dari program tersebut. Aku tidak berniat pun untuk menyertainya, hanya sekadar memerhati. Tapi seorang ikhwah meminta bantuanku untuk salah satu slotnya iaitu ‘Meniti Angin Malam’. Sambil membantu, aku juga turut mendapat pengalaman dan ilmu yang baru.

Alhamdulillaah, pengisian yang diberi sungguh menginsafkan. Aku harap beberapa ilmu yang aku peroleh itu akan dipraktikkan kelak.

Dalam pada itu, aku telah mengkhatamkan buku “Hati Sebening Mata Air” (lamanya aku ambil masa untuk habiskan, dari bulan April 2008 lagi aku mula baca) atau judul asalnya dalam bahasa Arab iaitu “Islaahul Qulub”.

Serius aku ingin khabarkan kepada kalian, usai sahaja aku membacanya, aku rasa ada beberapa pengajaran yang boleh dikaitkan dengan program KBM tadi.

Program KBM akan memperingatkan peserta bahawa dunia yang kita kejar selama ini hanyalah ilusi, sedangkan kuburlah destinasi kita sebelum ke mahsyar nanti. Ketika slot ini, aku teringat sebahagian isi buku tentang azab kubur, Hari Kebangkitan, syurga dan neraka serta hisab.

Menggetarkan hati..

Justeru itu, aku ingin kongsikan kepada kalian, petikan dari buku tersebut, bahawa Allah itu Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kerana apa?

Kerana, sungguh banyak sekali cara kita boleh masuk syurga.

Namun, kita perlu bersabar dengan ujian di dunia. Ujian untuk menahan dari maksiat, serta ujian dari kemalasan melakukan perkara yang mahmudah dan ibadah yang ditetapkan Allah. Pun begitu, Allah telah menyusun beberapa ‘terminal’ atau stesen bagi kita untuk menyucikan diri sebelum dihisab.

4 di dunia

1. Taubat
2. Istighfar
3. Kebaikan dan amal soleh
4. Musibah dan ujian

3 di kubur

1. Solat jenazah
2. Fitnah dan seksaan di kubur
3. Hadiah pahala dari amal manusia

4 di hari qiamat

1. Kengerian hari Qiamat
2. Berdiri di hadapan Allah swt
3. Syafaat Nabi
4. Ampunan Allah

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

(Surah 55, Ar-Rahman : Ayat 16)
Lihatlah, di dunia sahaja telah disediakan empat terminal penyucian dosa. Pilihan di tangan kita. Sama ada hendak menyuci dengan cara yang baik di dunia, atau dengan cara yang menyeksakan seperti diazab di kubur atau ditimpakan kesusahan dan kepayahan ketika di padang Mahsyar.

Buku yang ana reviewkan tersebut, sangat bagus untuk dibaca kerana dapat meningkatkan intensiti ‘selera’ anda untuk beribadah. Tidak kira ibadah rohani atau jasmani. Pastinya, anda akan cuba untuk cuba meraih perhatian dariNya dengan membaca surat cintaNya (Al-Qur’an) dan melakukan kebaikan hanya untuk mendapat keredhaanNya.

p/s - Sekadar memperingatkan terutama diri yang menulis ini. Jangan hanya lincah di medan tarbiah luaran tapi kita lupa pada tarbiah dzatiah (peribadi). Kelak akan menghasilkan jiwa yang kosong dan ‘kering’. Jika tidak dirawat segera, iman akan menjadi kontang dan futur boleh terjadi.

~ Islah, Islah, Membawa Perubahan ~

Sabtu, 1 Januari 2011

Mc D Jom!

Jam 1300 di sebuah pejabat di utara tanah air.

“Jom, lunch!” Ikmal mengajak rakan sepejabat barunya untuk pergi makan tengahari.

“Jap, nak siapkan sikit lagi kerja ni,” balas Muaz.

Lima minit kemudian.

“Nak pergi makan kat mana ni?” tanya Muaz.

“Hari ini ade tempat special aku nak bawak hang,” beritahu Ikmal sambil memicit alat kawalan jauh keretanya.

“Kenalkan ni, Fuad,” Ikmal memperkenalkan kawan sekampungnya yang berlainan pejabat. Pejabat Ikmal dan Muaz terletak di tingkat lapan manakala Fuad bekerja di tingkat tujuh belas. Muaz dan Fuad berjabat tangan sambil tersenyum.

Mereka menaiki kereta MyVi milik Ikmal menuju ke destinasi istimewa yang diberitahu Ikmal.

“Hari ni kita makan burger,” beritahu Ikmal apabila sampai ke destinasi yang diperkatakan.


‘Eh, McD ke.. Aku ingat nasi kandar ke.. Naqib aku cakap McD kena boikot aritu..’


getus Muaz dalam hatinya. Dia teringat pesan naqibnya, Afif. Dia berasa kurang sedap hati. Apa yang diketahuinya, McD atau kependekan bagi McDonald Restaurant adalah salah satu dari penyumbang kepada Yahudi Zionis yang menjajah dan membunuh rakyat Palestin.

Ketika hampir sampai ke pintu, tiba-tiba Muaz bertanya, “McD sekarang ada pakej nasi tak?”

Ikmal ketawa, “Nasi? Takde kot. Apesal?”

“Takde la. Aku tak kenyang la makan burger je. Nak makan nasi la,” helah Muaz.

“Alaa, kenyang je aku makan burger. Aku kalau dapat makan yang paling special tu, nak abiskan french fries pun dah tak larat. Aku belanja. Tak nak gak?,” pujuk Ikmal.

“Ehhh.. Tak boleh la. Aku melayu totok kot. Hehe ~ Kena makan nasi.”

“Takpelah, kat sebelah sana ade restoran, beli la, sat gi bawak masuk makan ngan kitorang,” Fuad mencelah.

~ ~ ~ ************** ~~~

Selang sepuluh minit.

“Lauk apa? Ikan je? Kalau tak kenyang, aku bagi sikit burger aku ni ha,” pelawa Ikmal kepada Muaz.

Muaz menolak penuh sopan, “takpelah, susah-susah aje. Nasi ni dah cukup untuk kenyangkan aku.”

“Kalau camtu, takpelah.”

Muaz selesai makan lebih awal dari Fuad dan Ikmal. Selepas membasuh tangan, Ikmal bertanya, “eh, hang tak beli air ke? Tak haus ke?”

‘Alamak, ape nak jawab ni? Ah, bantai je la..’


Otak Muaz ligat mencari helah.

“Aku biasa minum air setengah jam lepas makan. Jaga kecergasan. Biaselah, atlit. Ahaha...” jawab Muaz spontan.

“Heh, ye la sangat. Aritu hang minum terus je lepas makan?”

“Aritu sebab mase sarapan pagi aku tak minum air. Tu yang haus sangat tu. Lagipun lambat sangat tunggu nasi. Order la air,” jawab Muaz lagi.

“Ala, air coke ni free je. Boleh topup kat kaunter tu,” pujuk Fuad pula.

“Segan ke? Kalau segan, biar aku tolong amikkan untuk hang,” Ikmal menawarkan bantuan. Dia bingkas bangun dan menambah air cokenya untuk diberikan kepada Muaz.

‘Alamak, camne ni..’

Muaz berfikir helah lain untuk mengelak. Dia terbayangkan setiap minuman atau makanan yang masuk ke perutnya seolah darah saudara seaqidahnya di Palestin. Ada juga rakan-rakannya sebelum ini berdalih,

‘Ala, berapa peratus je dari McD ni disumbangkan pada Zionis. Yang kita beli ni bahagian tak menyumbangkan pada Zionis. Takpe.’

‘Tahu ke pulak bahagian mana yang kita bayar tu disumbangkan kat Zionis atau tak? Ish.. Camne ni?’

Ikmal menghulurkan air coke yang sudah ditambah kepada Muaz.

“Minumlah. Jangan malu-malu,” pelawa Ikmal.

Mahu tak mahu, Muaz terpaksa minum juga.

‘Takpe la, minum sikit je. Raikan diorang ni.’

Selesai makan, dalam perjalanan pulang, “adui ni yang tak suka minum air gas ni. Perut rasa memulas sikit.” Kata Muaz, berhelah.

“Ye ke? Lain kali hang minum air takde gas la.” Kata Fuad.

Kereta meluncur laju. Muaz mengenang ‘peristiwa’ yang berlaku sebentar tadi. Dia berasa bersalah kerana tidak mampu menyedarkan rakannya. Namun dia tahu, sukar untuk menegur secara terus. Mungkin dia perlu berbincang dan bertanya pada naqib atau ahli usrahnya yang lain tentang cara yang efektif untuk menasihati kawan sepejabatnya itu, dan orang lain juga mengenai pemboikotan terhadap Zionis.

‘Ya Allah, semoga Kau tunjukkan jalan bagiku untuk menyedarkan mereka dan menghindarkan aku dari tersesat dari jalanMu.’

Doa Muaz dalam hatinya.

McDeath!!

 Apakah yang dibanggakan dengan sticker ini pada kereta?

Khamis, 2 Disember 2010

Tackle Yang Tarbawi

Di sebuah restoran, selepas program katibah di Seri Iskandar, sekitar jam 1430.

“Cit cit cit... ,“ Megat memanggil seekor kucing yang sedang khusyuk (sambil buat muka comel) memerhatikan ikhwah yang sedang makan tengahari.

“ Meow...” kucing yang comel lagi gebu itu datang menggedik apabila dipanggil.

“Jangan lupa baca bismillah tau!” kata Megat sambil memberikan sedikit bahagian daging ayam kepada kucing tersebut.

Selepas beberapa ketika, kucing itu sudah pun menghabiskan makanan yang diberikan kepadanya.

“Meoww.... Meowwww...” kucing yang gedik itu mengiau lagi, sambil menjilat-jilat jarinya. (Jari ke kaki?)

“Alamak, lauk dah habis la kucing oii...” Megat menjawab ‘permintaan’ kucing itu dengan kehampaan.

“Megat, enta patutnya cakap ‘dah takde apa-apa nak bagi kat kau la kucing, yang ada hanya Allah dan RasulNya’... Hehe.. “ Mad berjenaka.

“Wuii... Ana takde la sampai camtu lagi. Baru bagi tak sampai 0.1% je dari harta ana..” Megat merendah diri.

“Kalau camtu, enta kena infaq banyak-banyak lagi la..” Afiq mencelah.

Izzudin yang kasihan akan kucing tadi yang terus mengiau, memberikan kepala ikan yang tersisa dari makanan tengaharinya.

“Haiii... Din??” Megat tiba-tiba bersuara kembali.

“Kenapa?”

“Berani enta rampas..”

“Rampas apa ni? Tak faham ana..” Din terpinga-pinga.

“Enta rampas mad’u dia..” Mad mencelah.

“Ohh.. Ye ke? Tapi enta tak letak apa-apa tanda pun. Mana la ana tau..” Din membela diri.

“Ana tackle dia dulu kot. Enta senang-senang je nak nak potong line..” Megat buat muka.

“Alah, enta belum usrahkan dia lagi kan? Belum confirm dapat lagi..”

“Ana dah belanje makan tu.. Dalam proses la.. Adoyai..”

“Takpe-takpe, banyak lagi mad’u lain enta boleh tackle,” Din berdiplomasi.

“Mana boleh.. Ana tackle dulu, ana la yang bawak usrah untuk dia..” Megat sengaja mencetuskan kontroversi.

“Isk.. Sudah-sudahlah..! Pasal mad’u pun boleh jadi perselisihan ke?” Mad mengendurkan suasana.

“Megat mula dulu..” Din berhujah untuk melepaskan diri dari dipersalahkan.

“Enta pun same je Din. Tu baru kucing sebagai mad’u. Belum manusia lagi. Kita nak tackle bukan robot. Hanya programkan je, lepas tu jalan. Antum tak boleh fikir, lepas jumpa sekali dua, lepas tu ajak usrah, and then kita harap diorang akan bekerja bersama kita untuk berdakwah. Tak semudah itu..” tegas Mad lagi.

“Dakwah tidak dihamparkan dengan permaidani merah... Tapi kita mewarnai jalan dakwah ini dengan merahnya darah-darah kita...” Afiq mencelah.

Kesemua terdiam. Berfikir. Angin bertiup sepoi-sepoi lembut, menyapa muka-muka ikhwah yang masih lagi di meja luar restoran.

“Sebut pasal robot. Ana teringat bila pagi-pagi masa duduk kat Shah Alam dulu..” Basyir yang terdiam dari tadi bersuara.

“Citer sket. Cam menarik je..” Afiq meminta.

“Takde ape yang menarik sangat. Cuma nak pergi masjid time Subuh, kena lintas jalan dari flat yang kami duduki. On the way tu nampak la ramai orang tengah tunggu bas. Ada pakai baju pekerja kilang, ada baju sekolah, ada baju formal pejabat.”

“Then? Apa yang robotnya? Orang kerja kilang tu buat robot?” Din bertanya sambil berjenaka.

“Bukanlah. Tak habis lagi cakap ni.”

“Tu la, tunggu la orang habis cerita. Tau la trigger sangat..” Megat memerli. Din buat muka selamba.

“Ana nampak kitaran robot. Kitaran yang berulang. Setiap hari.” Basyir terdiam seketika sebelum menyambung. Semua menunggu sambungan cerita.

“Bila maghrib, ana akan terserempak lagi dengan mereka ini yang turun dari bas. Dan bila hujung minggu, boleh nampak pula mereka menunggu bas untuk ke bandar.”

“Berulang-ulang. Repetisi,” celah Mad.

“Betul tu. Tengok seperti robot di kilang-kilang yang telah diprogramkan. Mengulang kitaran hidup yang sama setiap hari. Kalau enta, tak bosankah?” Basyir menimbulkan persoalan.

“Hmm.. Jadi? Nak buat camne?” Megat bertanya lagi.

“Kita manusia, dikurniakan akal dan hati. Kita ada emosi. Dan, kita jangan lupa. Robot ada pencipta. Dan pencipta itu mesti mahukan ciptaannya berbuat selari mengikut kehendaknya, kan?” Basyir bertanya lagi.

“Maksudnya, manusia pun diprogramkan ke? Ke, camne? Hehe.. Blur,” Mad bertanya.

“Oh, takde la manusia ni diprogramkan. Tapi, kita kan ada pencipta, iaitu Allah. Dan Allah sudah setkan matlamat penciptaan, misi bagi manusia dicipta. Antum semua dah tahu kan?”

“Ubudiah dan khalifah. Pengabdian padaNya dan memakmurkan muka bumiNya dengan pengabdian padaNya,” Afiq membantu untuk menjawab.

“Benar sekali. Dan ramai manusia melupakan misi yang sudah Allah tetapkan ini. Padahal semuanya telah tercatat dalam manual kehidupan kita, Al-Qur’an. Dan cuba bayangkan kalau robot yang diprogramkan tidak menepati misi yang ditetapkan penciptanya, tentulah penciptanya marah bukan? Macam tu lah juga manusia. Apabila sudah sampai tiba untuk kembali padaNya, kita akan dihisab, untuk direview prestasi kita sepanjang tempoh perkhidmatan kita di dunia. Adakah menepati misi yang telah ditetapkan? Atau hanya membuang masa? Sekadar menjadi penambah kuantiti sahaja. Tidak bererti, seperti tin kosong?”

“Sebab tu la, kita perlukan tarbiah. Untuk mengenali siapa kita. Mengetahui apa misi kita. Dan melaksanakan misi tersebut. Jika tidak, sia-sia sahajalah kehidupan kita ini,” Mad menambah.

“Dan, atas rasa tanggungjawab pada manusia yang lain, kita juga berdakwah untuk mengembalikan manusia pada landasan misi pertama tadi, ubudiyyah...” Megat memberi kesimpulan.

“Ha, pasal mad’u tadi! Terlajak pulak. Ana teringat kalau dalam bola sepak. Kalau antum main bola sepak, dan ada seorang forward yang agak handal dari opponent team. Jika antum jadi defend, adakah seorang je yang nak ‘marking’ dia? Atau ada teammate yang nak bantu?” Afiq menimbulkan persoalan.

“Mesti lah ada seorang lagi yang bantu. Kalau forward tu terer mendribble, lagi la kena marking selalu,” Din menjawab.

“Macam tu la dakwah. Kadang-kadang tak cukup seorang da’i yang menDF (Dakwah Fardiah) mad’u. So, sepatutnya tak timbul la kan isu perebutan mad’u. Sebab kalau sorang ikhwah tengah DF sorang mamat ni, dia kena ajak ikhwah lain, terutamanya usrahmate dia untuk DF mamat ni sama-sama. Itulah muafakat. Dakwah ini tidaklah individualistik, tapi jama’i. Memang lah disebut dakwah fardiah, individu. Tapi individu pada sasaran. Kita menyasarkan pada sasaran yang kecil. Tapi, insya Allah, ia lebih berkesan kerana lebih fokus. Ingat lagi dalam fizik? Sasaran kena konsisten dan menghampiri sasaran. Bukan berselerak, bukan juga jauh pada sasaran, meskipun konsisten.”

“So, pilihlah, sorang tackle sorang, atau ramai tackle sorang?” Basyir mencelah sambil tersengih.

“Sebut pasal bola, dah lama kita tak riadah ni. Nak main apa pulak next riadah?” Din bertanya.

“Kita main paintball plak, amacam? Kata nak berjihad. Ikhwah kena la lasak sket..” Mad memberikan cadangan.

“OK, set!” semua bersetuju.

“Hari ini ana belanja. Ana nak naikkan sket peratusan infaq ana. Antum kan buat kerja untuk Islam, so kira infaq la..” Megat menawarkan diri.

“Alaa.. Kalau tau awal, ana amik banyak lauk dah tadi!” Din buat muka terkilan.

“Hahaha...”

Mahu tackle satu sama satu?

Atau ramai sama satu?

~ Dakwah Forever, and Ever ~

Selasa, 2 November 2010

Untukmu Syabaab – Episod I

Titipan ini aku "ekstrak"kan dari bab "Wahai Pemuda" dalam sebuah buku Pak Hassan.

Mengapa Pemuda?

Mari kita imbas sejarah yang penuh dengan 'ibrah. (Sejarah ialah perkara yang menyeronokkan jika anda memahami sejarah dengan hati) Teliti kisah hidup 'Ali bin Abi Talib, Mus'ab bin Umayr, Mu'az bin Jabal, 'Aishah dan Asmaa' ra. Antara nama-nama yang menjadi tulang belakang dakwah Rasulullah saw. Mereka inilah yang menjadi tonggak kebangkitan ummah. Mereka inilah yang punya keyakinan dan keazaman yang membara, sanggup menempuhi dugaan dan menentang arus kontemporari ketika itu (jahiliah, berhala dan sebagainya). Begitu juga dalam revolusi di Rusia dan Perancis, para pemudalah nadi penggerak perubahan. Mereka ini (pemuda) punya beberapa kelebihan sehingga mampu menjadi pendesak, sekiranya mereka faham dan sedar potensi sebenar mereka, dan bersedia melakukan islah dan perubahan terhadap diri dan orang lain.

Pointnya, "sekiranya mereka FAHAM".

Jika kamu lihat pemuda Islam sekarang, mungkin boleh kamu katakan kisah pemuda Islam yang disebutkan tadi sebagai dongengan belaka. Ya, kerana pemuda yang ada pada masa sekarang langsung tidak melambangkan pemuda yang diceritakan di atas. (Pemuda di sini ialah pemuda Islam)

Pemuda yang telah melakar sejarah itu, merekalah pemuda yang BERFIKIR. Maka, du'at sekalian, fokuskan sasaran mad'u kamu pada golongan ini. Keluarkan potensi mereka, sedarkan mereka, untuk membangunkan semula ummah ini. Kerna, bila kesedaran muncul dalam diri mereka, mereka akan mula memikirkan kesejahteraan ummah, lebih dari diri mereka sendiri.

Sepertinya ghulam dalam kisah Ashaabul Ukhdud. Sanggup mati asalkan masyarakatnya selamat. Selamat dalam erti kata membebaskan diri dari perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan yang "total" kepada Allah swt. Walaupun menjadi hamba, tapi hamba yang merdeka. Merdeka jiwa dari perhambaan kepada yang lemah, iaitu makhluk. Merdeka asalkan masih menepati batas syara'.

Pemudalah tiang kebangkitan ummah ini, dalam suatu projek besar digelar "Projek Renaissance Ummah". Ia sudah bermula sejak khilafah ditumbangkan. Tiada masa untuk berpangku tangan, menjadi golongan pemerhati!

Dapatkah kamu bayangkan satu perlawanan yang berat sebelah? Musuh Islam (yang bersatu) VS Islam. Sedangkan kamu tahu pasukan Islam sedikit jumlahnya dan kurang kelengkapannya. Tidakkah zalim jika kamu hanya menjadi golongan yang menonton? Sedang pasukan Islam terkapar-kapar, kamu dengan senang hati membiaya kelengkapan musuh Islam dengan membeli barangan keluaran mereka?? (Dah masuk bab boikot la plak)

Sedangkan hadith pernah menyebut,

"Sesiapa yang tidak menghiraukan
urusan umat Islam yang lain, maka dia
bukanlah dari kalangan mereka."

Jadi, hanya ada dua pilihan untuk kamu, hai pemuda! Tiada pilihan yang ketiga, sebagai penonton! Kelak nanti, Allah akan bertanya apa usaha yang kamu lakukan tika melihat ummah dalam kesakitan. Ratapan ummah ini sudah mampu dilihat dengan keruntuhan moral generasi muda, pelapis Islam ini sendiri. Jadi, kamu selesa dengan keadaan kamu sekarang? Kalau begitu, kamu hanya memikirkan diri sendiri!

Di manakah kamu? Berjuta-juta Muslim di seluruh dunia, tapi umpama buih-buih di lautan. Mengapa? Kerana kamu (dan aku) sudah dimabukkan dengan arak-arak hedonisme dan materialisme, serta sistem hidup (terutama pendidikan) yang telah disebatikan dengan kita. Maka jadilah kamu, singa-singa Islam yang sepatutnya garang, jinak bagaikan kijang-kijang.

Kalian harus tahu, jika pemuda Islam seluruh dunia bersatu, maka ia menjadi mimpi buruk kepada musuh-musuh Islam.

Apa lagi yang diinginkan? Kita punya tenaga, potensi dan kreativiti untuk melukis (baca : melakar) satu sejarah baru!

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(Surah 9, At-Taubah : Ayat 111)

Allah telah menawarkan satu kontrak jualan yang sangat menguntungkan pihak kita, tapi kita sombong, enggan menerimanya?

Video ihsan mediafikr



~ Tabah Mendepani Dugaan ~

Khamis, 2 September 2010

Teruskan Aksimu Hai Sang Penyeru

Semalam aku dalam perjalanan ke masjid, tiba-tiba hujan lebat. Bergegas aku berlari (dengan menggalas beg berisi laptop) untuk berteduh di kafe. Kebetulan, kafe tu tak ramai orang suka pergi (mungkin sebab boring dengan hidangan yang ada) dan lebih ramai perempuan je di sana (tu pun sebab blok diorang dekat ngan kafe tu).

Nasib baik ada sorang member sebatch baru balik main badminton, tengah minum-minum. Lepak dengan dia, lantas menyebabkan timbul idea aku mengupdate di sini.

"Hujan-hujan begini, kalau ada awek mesti best.."

Ape kes..? Aku dah pelik ngan mamat ni.

"Boleh sembang-sembang, gurau-gurau, gelak-gelak.."

Isk.. Astaghfirullaah...! Kenapa mentaliti dia sampai macam ni..?

Tak mahu panjangkan cerita. Nampaknya, berat juga tugas yang perlu dipikul seorang da'i. Memperbetulkan salah faham terutama belia-belia, bakal pewaris, pengganti kepimpinan negara dan ummah.

Aku terdiam sepanjang menunggu hujan berhenti. Tidak mahu respon banyak sebab pernah jugak bertikam lidah dengan mamat ni sebelum ni, pasal hubungan silang jantina jugak.

Dan tugas berat juga bagiku, menegur anak buahku (kes macam mamat tadi tu), yang masih perlukan nasihat dan bimbingan. Entahlah, aku masih belum menunjukkan contoh-contoh seorang naqib yang mempunyai qudwah dan teladan yang baik. Masih banyak ruang untuk diperbaiki.

Namun, aku juga berharap agar aku tidak rasa letih atau jemu dengan tugas dan kerja mulia ini. Allah tak pandang hasilnya, adakah berjaya atau tidak. Allah pandang usaha. Banyak mana aku usaha, banyak itulah ganjaran yang akan diterima. Allah tak rugi apa-apa jika aku tak mahu mengemban tugas ini. Malah Allah akan mengganti dengan orang lain yang mahu menyahut seruanNya ini.

Kadang-kadang, mahu kupersalahkan generasi seniorku. Mengapa antum tak berjaya mencari pelapis?

Tapi..

Aku tak sepatutnya hanya menyalahkan kesilapan generasi lalu. Aku tak sepatutnya mengulangi 'kitaran bodoh' itu. Mantap dan hebat kepimpinan individunya, tapi mungkin 'ter'lupa menyusun dan mengatur strategi untuk meneruskan perjuangan dengan menyediakan pewaris dan pelapis di kala mereka sudah tamat pengajian.

Maka..

Ikhwah dan akhawat, tak perlu ditangisi kesilapan lalu itu!

Bangkitlah dari mimpi-mimpi. Susun barisan, aturkan perancangan, kukuhkan tautan, kuatkan hubungan denganNya, inshaAllah kemarau ini akan berakhir jua.

Masanya?

Jangan ditanya. Allah jua Yang Maha Mengetahui. Barangkali, kita tidak sempat melihatnya.

"Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain dari kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermulanya daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini. Jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari suatu perjuangan yang panjang."
- Pak Hassan, IM

Isnin, 2 Ogos 2010

Gugahkan Jiwa, Gegarkan Hati!

Hari ini, beberapa orang ikhwah memberi kata-kata semangat buatku.

Beberapa ziarah ke blog-blog ikhwah, memulihkan semula semangatku yang jatuh.

Alhamdulillaah, menggugah jiwa dan menggegarkan hati!!

Semoga Allah membalas jasa kalian. Rasa rindu untuk bertemu antum, namun terhalang kerana kekangan masing-masing. Moga Allah tetap mengukuhkan ikatan persaudaraan kita, meskipun jauh berjuta batu.

Terasa dekat di hati, meskipun jauh di mata.. (dah start nak berpuitis pulak..)

Tugas sebagai da'i lebih memerlukan kita di tempat masing-masing. Dan hadirnya kita, menghulurkan apa yang orang lain tidak miliki. Kita mengorbankan apa yang kita ada (masa, harta dan tenaga) demi kasih kita keranaNya.

Pesanan-pesanan antum, inshaAllah akan kupegang..

Sebenarnya, situasi terkini di sini agak menyedihkan. Namun, tak sepatutnya aku putus asa. Bukankah Rasululullah saw bermula seorang diri? Dan dakwahnya disahut oleh Khadijah ra dan Abu Bakar ra.

Justeru, aku mesti bersungguh dalam mengingatkan diri sendiri supaya tabah menghadapi apa jua cabaran. Kerna dalam jiwa seorang da'i, lebih perlu memikirkan diri mad'u dari dirinya sendiri!

Semoga, Allah membuka jalan bagiku dan seperjuanganku untuk terus beraksi di medan yang penuh mehnah ini.

Jom! Perkasakan dzatiah agar lebih muntijah dalam dakwah! Mengumpul susuk-susuk yang dahagakan kebenaran dan sinar tarbiah. Berapa pun kuantitinya, biarlah kualiti yang lebih utama.

Kupetik dari blog seorang ikhwah;

Pernah dahulu, Pak Hassan bercerita
tentang cita-citanya kepada seorang sahabat IM, katanya..

"Andai diumpamakan ISLAM seperti sebuah bangunan yang
hampir roboh, maka Aku akan berjalan ke seluruh pelusuk
dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda.. Aku tidak ingin
mengutip dengan ramainya bilangan mereka.. Tetapi aku
inginkan hati-hati yang ikhlas, untuk membantu dan
bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi
sebuah bangunan yang tersergam indah, kemudian masyarakat
terkejut melihat betapa hebat dan indahnya bangunan
yang dahulunya hampir roboh. Mereka tercengang-cengang
melihatkan pemuda-pemuda yang berada di dalamnya..
Mereka bermanis muka dan berpakaian kemas..
Sungguh berbeza dengan masyarakat luarnya..."

Kita tak sepatut rasa gelisah jika dakwah kita tidak diterima kerana Allah yang akan menjaga agama ini, tetapi kita patut gelisah jika kita tidak mahu menerima atau tidak mahu menyebarkan dakwah ini..