Isnin, 2 Ogos 2010

Gugahkan Jiwa, Gegarkan Hati!

Hari ini, beberapa orang ikhwah memberi kata-kata semangat buatku.

Beberapa ziarah ke blog-blog ikhwah, memulihkan semula semangatku yang jatuh.

Alhamdulillaah, menggugah jiwa dan menggegarkan hati!!

Semoga Allah membalas jasa kalian. Rasa rindu untuk bertemu antum, namun terhalang kerana kekangan masing-masing. Moga Allah tetap mengukuhkan ikatan persaudaraan kita, meskipun jauh berjuta batu.

Terasa dekat di hati, meskipun jauh di mata.. (dah start nak berpuitis pulak..)

Tugas sebagai da'i lebih memerlukan kita di tempat masing-masing. Dan hadirnya kita, menghulurkan apa yang orang lain tidak miliki. Kita mengorbankan apa yang kita ada (masa, harta dan tenaga) demi kasih kita keranaNya.

Pesanan-pesanan antum, inshaAllah akan kupegang..

Sebenarnya, situasi terkini di sini agak menyedihkan. Namun, tak sepatutnya aku putus asa. Bukankah Rasululullah saw bermula seorang diri? Dan dakwahnya disahut oleh Khadijah ra dan Abu Bakar ra.

Justeru, aku mesti bersungguh dalam mengingatkan diri sendiri supaya tabah menghadapi apa jua cabaran. Kerna dalam jiwa seorang da'i, lebih perlu memikirkan diri mad'u dari dirinya sendiri!

Semoga, Allah membuka jalan bagiku dan seperjuanganku untuk terus beraksi di medan yang penuh mehnah ini.

Jom! Perkasakan dzatiah agar lebih muntijah dalam dakwah! Mengumpul susuk-susuk yang dahagakan kebenaran dan sinar tarbiah. Berapa pun kuantitinya, biarlah kualiti yang lebih utama.

Kupetik dari blog seorang ikhwah;

Pernah dahulu, Pak Hassan bercerita
tentang cita-citanya kepada seorang sahabat IM, katanya..

"Andai diumpamakan ISLAM seperti sebuah bangunan yang
hampir roboh, maka Aku akan berjalan ke seluruh pelusuk
dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda.. Aku tidak ingin
mengutip dengan ramainya bilangan mereka.. Tetapi aku
inginkan hati-hati yang ikhlas, untuk membantu dan
bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi
sebuah bangunan yang tersergam indah, kemudian masyarakat
terkejut melihat betapa hebat dan indahnya bangunan
yang dahulunya hampir roboh. Mereka tercengang-cengang
melihatkan pemuda-pemuda yang berada di dalamnya..
Mereka bermanis muka dan berpakaian kemas..
Sungguh berbeza dengan masyarakat luarnya..."

Kita tak sepatut rasa gelisah jika dakwah kita tidak diterima kerana Allah yang akan menjaga agama ini, tetapi kita patut gelisah jika kita tidak mahu menerima atau tidak mahu menyebarkan dakwah ini..

Jumaat, 2 Julai 2010

Penawar Terbaik

Girang.

Ungkapan terbaik yang dapat kuluahkan tika ini.

Terubat hatiku ini, bila dapat berinteraksi dengannya sebentar tadi. Terasa semangat ini kembali memuncak kembali. Harapnya, ia kekal lama.

"Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah 8, Al-Anfaal : ayat 63)
Meskipun jauh berjuta batu, merentasi lautan, namun Allah tetap menyuburkan nikmat ukhuwwah dalam hati.

Aku berpeluang berchatting di gmail dengan murobbiku yang kini di Yaman. Berkongsi dan bertukar pengalaman, menyebabkan aku terimbau kembali kenangan lama bersama.

Kuterkenang pengalaman 'kaifa ihtadaitu' (bagaimana aku mendapat hidayah) oleh beliau.

Dan sekarang, sampai masanya aku pula mempraktikkan apa yang pernah aku alami suatu ketika dahulu kepada mad'u dan mutarobbiku sekarang.

Setelah aku teliti, ikatan ukhuwwah adalah teras utama. Dan ukhuwwah bermula dengan berkenalan. Kerana itulah, aku mahu memperbetul kembali kesilapanku.

Nikmat ukhuwwah itu sangat terasa apabila kita sangat mengenali saudara kita. Dan aku telah mendapat pengajaran baru-baru ini, apabila aku 'terasa' dengan seorang ikhwah yang mana kami sering bersama, sehinggakan ikhwah lain melihat kami seperti gandingan yang serasi. Satu tragedi kesilapan yang menyebabkan aku terasa, lantas aku mengadu pada seorang ikhwah yang lebih berpengalaman, dan beliau menegurku.

"Itu tandanya antum berdua sangat rapat", katanya.

MashaAllah, baru kusedar, selama ini, rupanya aku masih mempunyai sifat-sifat individualistik walaupun dalam perkara jamaah. Ukhuwwah yang kering. Jika perkara 'simple' begini sudah 'fail', bagaimana sifat tadhiah dan itsar dapat dibentuk?

Pengajaran yang bermakna. Jika tidak kuhadapi, mungkin aku tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan ukhuwwah mutarobbiku kelak.

Buat mutarobbiku, kalian adalah permata berharga, akan kugilap menjadi susuk-susuk yang rela syahid keranaNya! Let's Strengthening Ukhuwwah to build The Best Ummah!!

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."
(Surah 3, Aali 'Imraan : Ayat 110)
~ Fastabiqul khoirot! ~

*Glosari baru
Tadhiah = pengorbanan
Itsar = melebihkan orang lain dari diri sendiri